KUCHING: Tiada sebab bagi kaum bukan Bumiputera berasa cemburu akan peluang ekonomi yang memberikan kelebihan kepada kaum Bumiputera memandang mereka dasarnya mempunyai banyak kelebihan lain.
Menteri Muda di Pejabat Ketua Menteri (Hal Ehwal Islam), Datuk Daut Abdul Rahman berkata kerajaan mempunyai polisi yang baik dalam penilaian ekonomi yang berpatutan di antara kaum.
“Ini kerana kerajaan akur akan kelebihan ekonomi yang sedia ada pada kaum bukan Bumiputera dan selebihnya memberi peluang kepada kaum Bumiputera untuk mendedahkan diri kepada dunia perniagaan,” katanya ketika majlis ramah-tamah Aidilfitri di Kampung Gita Lama di sini, semalam.
Bumiputera patut mengambil inisiatif untuk membuat perniagaan sebagai salah satu sumber pencarian dan sama-sama maju di bidang ini setaraf dengan kaum bukan Bumiputera yang lain.
Beliau menekankan bahawa konsep “give and take” dalam ekonomi membolehkan satu negara maju tanpa menyoal dari segi kelebihan perkauman.
“Bukan kehendak kerajaan untuk menyisihkan kaum bukan Bumiputera tapi ingin membuka peluang yang sama terhadap Bumiputera yang kurang dari segi perniagaan,” katanya.
Menurut beliau, kerajaan tidak pernah menghalang kaum bukan Bumiputera untuk menjalankan perniagaan sah dan beretika, malahan tidak pernah memberi sebarang kata ‘tidak’ kepada mereka (bukan Bumiputera) yang ingin melanjutkan pelajaran mereka ke luar negara.
“Ini adalah kerana kerajaan mempunyai polisi yang berpatutan akan situasi di negara di mana kebanyakkan kaum bukan Bumiputera ada banyak kelebihan berbanding dengan kaum Bumiputera dari segi perniagaan,” katanya.
Malahan beliau memberi contoh kebanyakkan pelapor perniagaan yang berjaya kebanyakkan bukan Bumiputera.
“Kerajaan bertujuan untuk menolong sesiapa sahaja dan bukannya berat sebelah dalam unsur perniagaan,” katanya.
Pendedahan ekonomi terhadap kaum Bumiputera merupakan salah satu jalan terbaik kepada kerajaan untuk menarik minat kaum Bumiputera untuk menjalankan perniagaan terutamanya di Sarawak.
Berkonsepkan 1Malaysia beliau mengharapkan bahawa golongan bukan Bumiputera tidak sepatutnya cemburu dan tidak mengungkit soal yang akan memecah-belahkan masyarakat majmuk di Malaysia.
“Sistem kerajaan yang sedia ada sekarang ini bukan bertujuan untuk memecah belahkan kaum kita tetapi untuk mewujudkan persefahaman di antara kita sekiranya kita semua setaraf dari pelbagai segi,” katanya lagi.


